Mangsa pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan Telekom yang mendakwa mangsa mempunyai akaun telefon lain dengan Telekom.

Bagaimanapun, selepas menafikan, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada individu kononnya pegawai polis yang mendakwa terdapat kes dadah dan pengubahan wang haram atas nama mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, akibat takut ditangkap, mangsa telah membuat empat transaksi pindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM20,000.

”Wang tersebut telah dipindahkan ke akaun pegawai juruaudit Bank Negara Malaysia kononnya bagi tujuan siasatan sebagaimana diarahkan saspek.

“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah memaklumkan perkara tersebut kepada suaminya dan diberitahu pemanggil tersebut adalah ‘scammer’ sebelum membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noorzainy menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket menerusi panggilan telefon.

“Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” jelasnya.

Tambah beliau, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE