Suri rumah berusia 56 tahun itu ditipu sindiket dipercayai Macau Scam, selepas berkenalan dengan seorang lelaki yang menggunakan nama Edin Teyul­.

Perkenalan itu kemudian berlanjutan menerusi aplikasi media sosial WhatApps dengan suspek berkenaan menggunakan nombor 447732463140.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden A. Anbalagan, selepas berjaya meyakinkan mangsa menerusi perkenalan itu, suspek mula memasang jerat dengan mendakwa akan ke Singapura dengan membawa sejumlah wang dan ketulan emas.

Bagaimanapun katanya, ketika da­lam perjalanan sus­pek mendakwa kapal yang dinaikinya ditahan di Miri, Sarawak dan meminta mangsa memindahkan wang sebanyak AS$3,000 (RM12,000) bagi menyelesaikan proses penahanan itu.

“Mangsa hanya memindahkan RM3,000 pada 11 Oktober tahun lalu kepada satu akaun bank yang didaftarkan atas nama seorang perempuan Melayu.

“Namun selepas dipujuk­ mangsa telah memindahkan RM130,000lagi pada 1 November tahun lalu kononnya untuk dibayar kepada imigresen bagi uru­san membawa keluar wang dan ketulan emas yang dibawa suspek,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau,­­ mangsa ke­mudia­n­ terus me­­ngikuti arahan ke­nalan Facebook itu dan beberapa kali memin­dahkan wang ke akaun diberikan dengan jumlah antara RM4,000 dan RM30,000.

Kali terakhir pemindahan wang itu dilakukan mangsa, ujar beliau, adalah semalam iaitu sebanyak RM55,000 selepas suspek mendakwa wang diberikan sebelum ini tidak cukup untuk melepaskan barang dibawa.

“Suspek masih meminta mang­sa memasukkan wang ke­ra­na mendakwa belum mencu­kupi menyebabkan mangsa curiga dan tertipu sebelum membuat laporan polis,” katanya.