Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, lelaki berusia 64 tahun itu ditahan di Ibu pejabat Polis daerah di sini petang semalam selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

"Lelaki terbabit yang merupakan ejen estet akan direman hari ini. Setakat ini, kita sedang mengesan beberapa individu lain dipercayai terlibat berhubung perkara ini," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Dewan Diraja Selangor dalam kenyataannya kelmarin menegaskan tidak pernah mengeluarkan sebarang surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran termasuk gelaran 'Dato' kepada individu yang bernama Goh Boon Leong.

Malah, Dewan Diraja Selangor turut mengesahkan surat tawaran itu sebagai palsu dan turut membuat laporan polis tentang perkara tersebut kononnya surat tawaran darjah dan bintang kebesaran itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Dewan Diraja negeri, Hanafisah Jais dalam kenyataannya itu turut memaklumkan surat tersebut turut mengandungi fakta tidak benar termasuk menggunakan jata kerajaan Selangor yang salah selain nama serta tandatangan Setiausaha Dewan Diraja Selangor yang palsu. - UTUSAN ONLINE