Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian berlaku pada pukul 9.40 malam ketika pesawat tersebut dalam penerbangan dari Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang.

"Kejadian berlaku apabila lelaki berusia 23 tahun itu ditegur beberapa kali oleh pramugari bertugas yang melihat dia minum air berwarna kekuningan dalam botol air mineral yang dipercayai adalah minuman keras.

"Apabila pesawat hendak mendarat pada pukul 10.50 malam, lelaki itu telah membuat kacau dengan membaling botol air mineral ke arah pramugari tersebut selain mengeluarkan kata-kata kesat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Mohd. Zani, selepas pesawat berhenti dan semua penumpang turun, ketua pramugari meminta bantuan pengawal keselamatan untuk membawa suspek ke balai polis.

"Kita turut merampas satu botol mineral 500 milimeter berisi cecair kuning disyaki arak dan tiket penerbangan Langkawi-Subang milik suspek. Kes disiasat mengikut Peraturan 99, Peraturan Penerbangan Awam (Pindaan) 2016, Akta Penerbangan Awam 1969," jelasnya.

Tambah beliau, hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes curi di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE