Ibu kepada kanak-kanak yang dilihat tenang pada awalnya menangis teresak-esak sambil ditenteramkan ibu dan adik-beradiknya selepas keluar dari bilik penyerahan jenazah.

Bagaimanapun, usaha mendekati ibu mangsa gagal selepas memaklumkan masih bersedih dan belum bersedia untuk ditemu bual.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mayat kanak-kanak tersebut akan dikebumikan di kampung halamannya.

“Mayat kanak-kanak malang tersebut dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kroh, Karak, Pahang petang ini,” katanya, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang semalam, suspek berusia 35 tahun itu dikatakan menetak tiga kali bahagian kepala dan pergelangan kanan anaknya yang sedang tidur.

Suspek bagaimanapun ditahan dirumahnya di Flat Puchong Permai, Subang Jaya, dekat sini dan semakan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis syabu. - UTUSAN ONLINE