Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa berusia 26 tahun itu hanya mengalami luka biasa selepas ditikam tiga kali di bahagian perutnya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian terbabit, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suaminya itu yang merupakan warga Myanmar di hadapan sebuah rumah di kawasan tersebut.

Ujarnya, akibat kejadian itu, suami mangsa bertindak melarikan diri dan mangsa yang cedera ditinggalkan di situ.

“Orang awam yang melihat kejadian itu terus membantu sebelum memaklumkan kejadian ke balai berdekatan.

“Mangsa kemudian di hantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan dan pemeriksaan lanjut oleh doktor mendapati kecederaan dialami mangsa tidak serius kerana kesan tusukan tidak mengena ususnya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Hamzah, mangsa telah dipindahkan ke wad biasa siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Semakan lanjut, mangsa dan suaminya tidak mempu­nyai dokumen perjalanan yang sah dan sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan,” ujarnya.