Penahanan pasangan suami isteri yang mempunyai tiga anak yang masih kecil itu berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Semerak yang melibatkan kerugian mangsa melebihi RM50,000.

Ketua Polis Daerah, Deputi Suprintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek pada pukul 11.30 pagi itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis telefon berjenama; barang kemas; kasut; dan beg tangan danggaran nilai hampir RM20, 000.

"Polis masih menerus gerakan mengesan barang-barang curi yang dijual oleh kedua-dua suspek.

"Mereka adalah penduduk tempatan yang terlebih dahulu meninjau dan mengenal pasti rumah tertentu untuk dipecah masuk dengan menggunakan pelbagai kaedah," katanya dalam sidang media di IPD Pasir Puteh, dekat sini, hari ini.

Abdul Rozak berkata, kedua-duanya dipercayai penagih pil kuda kerana positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan.

"Mereka menggunakan kereta jenis Perodua Kancil meronda kawasan kampung bersama anak-anak sebelum memecah rumah yang disasarkan pada waktu malam," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - UTUSAN ONLINE