Ketua Polis daerah, Superintenden Muhd. Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis turut menemukan empat kg daun ketum semasa melakukan serbuan keatas rumah itu kira-kira pukul 1.05 tengah hari.

“Polis turut menemukan 44 botol plastik berisi cecair ubat batuk dengan anggaran isipadu 4.4 liter di dalam rumah tersebut.

“Pasangan suami isteri itu ditahan di bawah Seksyen 39B dan 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Muhd. Nur Hishamuddin berkata, semasa pemeriksaan, syabu seberat 59.6 gram ditemukan di dalam sebuah beg di atas meja makan di ruang tamu rumah berkenaan.

Kata beliau, sebanyak 20 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 6.4 gram dijumpai di dalam beg yang sama dan kesemua dadah tersebut dianggarkan bernilai RM8,790.

Jelas beliau, sebanyak 44 botol plastik berisi cecair ubat batuk dan empat bungkus plastik berisi daun ketum bernilai kira-kira RM690 pula ditemukan di atas lantai di tepi meja makan yang sama.

“Polis menyita sebuah motosikal jenis Yamaha LC daripada suspek. Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tiada rekod jenayah dan keputusan ujian air kencing mereka adalah negatif,” katanya. - UTUSAN ONLINE