Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner C.S. Amarjit Singh berkata, kedua-dua suspek masing-masing merupakan warga tempatan ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan ke atas premis berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

“Selain itu, kita juga turut merampas dua ketulan mampat dan ceraian daun kering disyaki ganja (kanabis) seberat 300 gram, sebuah bekas plastik, 24 botol kecil, 97 picagari dan satu alat memasak (slow cooker) masing-masing berisi bahan terlarang itu dengan berat keseluruhan dianggarkan 2.3 kilogram.

“Nilai dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM45,520. Jumlah itu tidak termasuk nilai wang tunai berjumlah RM3,590 serta dua buah kereta masing-masing jenis Proton Wira dan Proton Saga,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini hari ini.

Tambah Amarjit, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek terbabit telah menjalankan kegiatan itu sejak dua tahun lalu yang mana cecair kanabis dalam botol kecil dijual menerusi media sosial Facebook pada harga RM140 setiap satu manakakala cecair dalam picagari dijual lebih mahal iaitu RM170 setiap satu kerana kepekatannya yang lebih tinggi.

Kedua-dua suspek katanya ditahan reman sehingga 22 Mei ini manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dikenakan hukuman gantung sampau mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 rotan. - UTUSAN ONLINE