Pasangan berusia 40 dan 39 tahun itu ditangkap bersama-sama 2.3 kilogram dadah disyaki heroin yang bernilai kira-kira RM40,000 mengikut nilai pasaran.

Malah, polis turut mene­mu­kan wang tunai berjumlah RM1,840 dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Bukit Pasir, di sini.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Md. Ra­sip berkata, kira-kira dua jam kemudian pula, pihaknya berjaya memberkas tiga lelaki berusia 30-an di sebuah rumah kedai di Jalan Temenggung Ahmad.

“Pemeriksaan menemukan 76 gram disyaki dadah jenis syabu bernilai RM11,400. Susulan serbuan itu, seorang suspek yang mempunyai rekod lampau turut dibawa ke belakang sebuah rumah di Bakri sebelum menemukan 1,600 biji pil era­min 5 dan ekstasi serta syabu bernilai RM25,300.

“Dalam serbuan ini, polis turut merampas tiga buah kereta jenis Honda CRV, Honda Civic dan Toyota Camry berharga kira-kira RM300,000 dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Zaharudin berkata, ujian sa­­ringan air kencing empat suspek terbabit turut positif methamphetamine, manakala suspek wanita berkenaan bebas daripada sebarang pengambilan bahan terlarang.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama seminggu sehingga 31 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 32B Akta Dadah Berbahaya 1952.