Dalam serbuan pukul 3.30 petang semalam, pasukan tersebut menemukan pelbagai jenis mercun seperti mercun bola dan papan di ruang tamu rumah dan sebahagian lagi di dalam sebuah kereta Kia Forte yang diletakkan di pekarangan rumah tersebut.

Komander Aksem negeri, Abd. Latif Abdul Rahman berkata, tiada tangkapan dilakukan kerana penyeludup yang dipercayai merupakan penduduk tempatan telah melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota Aksem.

"Anggota kita menunggu selama setengah jam dan mendapati tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik kereta tersebut.

"Kita kemudian bertindak memecahkan cermin untuk membuat pemeriksaan sebelum menemukan sejumlah mercun di bahagian penumpang belakang dan tempat simpanan belakang," katanya di Kompleks Aksem di sini, hari ini.

Kata beliau, pihaknya percaya penyeludup menjadikan rumah tersebut sebagai stor pengumpulan mercun yang dipercayai diseludup dari Thailand sedikit demi sedikit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Mercun-mercun ini kemudian akan diambil oleh pihak lain untuk diedarkan ke lokasi tertentu," ujarnya.

Beliau memberitahu, harga mercun di negara ini akan meningkat dua kali ganda atau lebih berbanding di negara jiran.

Tambahnya, kes dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Kejayaan rampasan mercun ini adalah yang pertama pada tahun ini dan kita akan terus melakukan operasi dan pemantauan bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berlaku di kawasan sempadan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE