Dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 petang di rumah yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan daun ketum itu, suspek yang berusia 37 tahun tersebut mengaku kesemua daun berkenaan disimpan sementara di situ sebelum diedar ke negara jiran.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, serbuan itu diketuai unit risikan Aksem Padang Besar bersama-sama anggota polis susulan mendapat maklumat awam dan hasil risikan pihaknya.

"Aksem merampas 10 buah guni putih dan 25 bungkusan mengandungi daun ketum seberat 604 kilogram serta menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Basri berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke Aksem Padang Besar sebelum diserahkan kepada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan penjara empat tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE