KUALA LUMPUR 13 Nov. – Bekas Pengarah Urusan Apco Worldwide Malaysia, Paul Geoffrey Stadlen yang dicari bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah meninggalkan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14), Mei lalu.
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.
“Memang betul dia sudah meninggalkan Malaysia sebelum PRU-14,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Akhbar antarabangsa, The Daily Mail melaporkan Stadlen, 39, dipercayai terbang ke London sebelum ke lokasi lain yang tidak diketahui.
Dia didakwa melarikan diri dari negara ini dan kemungkinan terbang ke London namun tidak menyatakan waktu Stadlen keluar dari negara ini.
Pada 1 November lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dilaporkan berkata, SPRM sedang mencari Stadlen bagi membantu siasatan kes berkaitan 1MDB.
Menurut Mohd. Shukri, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengesan Stadlen.
Lelaki warga Britain itu beralamat terakhir di Unit A-29-8, Blok A, Loft Sentral Condominium, Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral, Kuala Lumpur. – BERNAMA