Pegawai berusia 37 tahun itu ditahan di Pasir Puteh, Kelantan kira-kira pukul 11.20 pagi ini.

Menurut sumber, suspek yang bertugas sebagai pegawai pemerintah di sebuah kapal Maritim Malaysia itu dipercayai menerima wang rasuah berjumlah antara RM4,000 hingga RM9,000 daripada tauke-tauke kapal sejak 2016 hingga 2017.

Katanya, wang tersebut ialah sebagai balasan bagi melepaskan bot-bot nelayan asing yang ditahan oleh Maritim Malaysia kerana kesalahan menceroboh perairan negara.

“Wang tersebut telah dimasukkan ke akaun bank milik individu lain. Selain itu, dia juga dipercayai terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram hasil daripada kegiatan rasuah tersebut,” katanya di sini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Mohd. Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan tersebut dan memaklumkan permohonan reman akan dilakukan di Mahkamah Majistret Kemaman esok.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram dan Pen­cegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla). - UTUSAN ONLINE