Menurut sumber, kesemua suspek disyaki bersubahat mengemukakan 55 dokumen arahan penyelenggaraan dan surat kebenaran yang mengandungi butiran palsu kepada TM, untuk mengeluarkan kabel dari gudang syarikat berkenaan.

“Operasi menahan semua suspek dijalankan antara pukul 2 petang hingga 6.30 petang tadi di beberapa lokasi, antaranya Batu Caves, Damansara Damai, Kajang dan Seri Kembangan.

“Pegawai teknik TM berusia 40 tahun manakala selebihnya merupakan tiga pemilik syarikat kontraktor, masing-masing ber­usia 37 tahun, 42 tahun dan 30 tahun,” katanya di sini hari ini.

Jelas sumber itu, turut ditahan, seorang sub-kontraktor berusia 47 tahun, bekas pekerja syarikat telekomunikasi berusia 41 tahun serta tiga bekas pemandu kepada dua syarikat kontraktor, masing-masing berusia 51 tahun, 56 tahun dan 45 tahun.

Dalam pada itu, SPRM Nege­ri Sembilan turut menahan seorang ahli perniagaan dan pe­ngarah syarikat, masing-masing 47 tahun dan 30 tahun di Seremban kerana disyaki bersubahat dengan kakitangan TM dan menerima rasuah untuk membawa keluar drop fiber berjenama Lite Kabel milik syarikat itu sebelum dijual di pasaran.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata ke­semua suspek akan direman esok untuk membantu siasatan.