Bayangkan jika jumlah lori yang dilepaskan setiap bulan le­bih daripada 50 buah sudah tentu jumlah wang yang dikutip lumayan.

Itu yang didakwa dilakukan sekumpulan penguat kuasa bagi mendapatkan pendapatan sam­pingan daripada pengusaha-pe­ng­usaha syarikat lori yang ken­deraan milik mereka bermasalah.

Jadi tidak hairanlah masih ba­nyak lori yang tiada insurans, cukai jalan dan melakukan pelbagai kesalahan undang-undang didakwa bebas beroperasi di jalan raya.

Berikutan dakwaan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap penguat kuasa yang dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah dan salah guna kuasa tersebut.

Sumber berkata, perbuatan me­lepaskan lori yang melanggar undang-undang bebas beroperasi di jalan raya adalah satu perkara yang serius kerana secara tidak langsung boleh membahayakan nyawa pengguna lain.

“Isu pengusaha syarikat lori yang melanggar undang-undang bukan perkara baharu namun masih terdapat pihak yang menutup sebelah mata demi kepen­tingan diri sendiri walaupun mengetahui perbuatan itu boleh mengundang kejadian-kejadian yang tidak diingini.

“Jika tindakan drastik tidak diambil, dikhuatiri gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa semakin parah,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang menyiasat penguat kuasa yang ga­gal memikul tanggungjawab dan melindungi individu atau syarikat melanggar undang-undang.

“Sehubungan itu, saya me­minta orang ramai yang mempu­nyai maklumat berhubung ke­­giatan sedemikian agar tampil me­nyalurkan maklumat bagi mem­bantu siasatan SPRM,” katanya.