Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah, Azlina Mohd. Zain berkata, operasi itu dijalankan bermula pukul 8 pagi hingga 2.30 petang hasil maklumat awam dan risikan pihaknya sendiri.

Menurutnya, susulan penemuan botol-botol berisi air ketum itu, seramai enam lelaki ditahan berhampiran lokasi perigi buta tersebut dan rumah berdekatan untuk ujian air kencing.

"Hasilnya, dua daripada mereka positif Methamphetamine dan seorang lagi positif opiat.

"Suspek berumur di antara 19 hingga 51 tahun itu dibawa ke pejabat AADK daerah untuk siasatan lanjut. Mereka turut mengakui menjual air ketum dengan harga RM20 sebotol," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Azlina memberitahu, siasatan lanjut mendapati 17 botol air ketum tersebut sengaja disimpan di dalam perigi itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan memudahkan pelanggan mendapatkan bekalan.

Selain itu katanya, pihak AADK turut merampas sebotol dan sebungkus lagi air ketum dari raga motosikal salah seorang suspek.

"Seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1)Akta Pemulihan Dadah (Rawatan & Pemulihan)1983 dijamin di bawah Seksyen 4(1)(a)APD(R&P)1983.

"Manakala lima lagi telah diserahkan kepada pihak polis di bawah Akta Racun 1952 untuk tindakan selanjutnya kerana kesalahan memiliki air ketum," katanya. - UTUSAN ONLINE