Penahanan individu berusia 34 dan 55 tahun itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Bukit Aman dalam serbuan di Seksyen 14 di sini kira-kira 11.30 pagi ini.

Ketua Peno­long Pe­nga­rah (Siasa­tan Jenayah Korporat dan Kewangan) JSJK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner S. Sasikala Devi berkata, pihaknya turut menyerbu dua lagi premis syarikat itu di Melati Utama, Setapak, Kuala Lumpur dan Bandar Baru Uda, Johor Bahru, Johor.

Menurutnya, di Melati Utama, pihaknya mendapati premis itu ditutup sejak dua bulan lalu manakala di Bandar Baru Uda, premis ber­kenaan masih beroperasi.

“Hasil serbuan di Johor Bahru, beberapa dokumen seperti sijil baka kucing dirampas. Setiap kucing dipakaikan mikrocip mengan­dungi maklumat haiwan berkenaan.

“Di Shah Alam pula, kita menahan dua lelaki iaitu pemilik dan pengurus kedai haiwan terbabit selain meram­pas beberapa dokumen berkaitan sijil baka ku­cing,” katanya kepada pembe­rita selepas me­lakukan Op Meow di sini.

Sasikala ber­­kata, ke­tiga-tiga ser­bu­an itu dilakukan selepas mene­rima 35 aduan daripada mangsa yang me­labur dalam skim tersebut sejak setahun lalu di Kuala Lumpur, Sela­ngor dan Johor Bahru.

Ujarnya, siasatan mendapati mangsa ditawarkan menyer­tai skim pelaburan itu yang melibatkan urusan jual beli pelbagai baka kucing se­perti Pedigree, Siberian, Scottish Fold Straight, British Short Hair pada harga RM7,000 hingga RM30,000.

“Kucing yang dibeli mang­sa ini kemudiannya akan ditinggalkan di premis syarikat itu untuk dibiakkan. Mangsa dijanjikan dengan pulangan yang lumayan pada kadar 70 peratus keuntu­ngan melalui anak kucing yang dilahirkan dan dijual kepada pe­langgan.

“Bagaimanapun, setelah me­nunggu lebih setahun, mangsa dikatakan tidak mendapat sebarang keuntungan yang dijanjikan sebelum menyedari bahawa mereka telah ditipu oleh syarikat terbabit,” ujarnya yang turut meminta mangsa lain yang terlibat dengan skim pelaburan ber­kenaan supaya tampil membuat laporan polis.

Tambah Sasikala, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.