Daripada 175 penerima yang diluluskan permohonan, terdapat tiga keluarga dipercayai merupakan pemimpin PKR di Sungai Yu dikesan bertindak membolot sekurang-kurangnya 15 lot tanah dan mereka juga dipercayai Ahli Jawatankuasa Pemilih yang dilantik Kerajaan PKR Selangor bagi menentukan siapa paling 'layak'.

Salah sebuah daripada tiga keluarga itu dikesan memperoleh sehingga sembilan lot tanah, iaitu selain atas nama sendiri, turut mendapat tanah ialah isteri, empat adiknya, dua anaknya serta seorang ipar, manakala sebuah lagi keluarga juga menggunakan kaedah sama apabila membolot empat lot (diri sendiri, ayah, adik-beradik).

Selain itu, ada juga pemohon yang diluluskan permohonannya dikesan menetap sejauh lebih 300 kilometer dari Sungai Yu, iaitu ada yang beralamat di Batu Kawan, Pulau Pinang; Ipoh Barat, di Perak; Masjid Tanah, di Melaka dan Rembau, di Negeri Sembilan, sedang­kan dalam syarat mengatakan penduduk tempatan diutamakan.

Pada masa yang sama, syarat pemohon iaitu mesti memiliki pendapatan kurang RM3,000 sebulan turut dilanggar Kerajaan PKR Selangor apabila seorang ahli perniagaan berusia 43 tahun serta dua orang doktor perubatan berusia masing-masing 37 dan 45 tahun juga diluluskan permohonan mereka.

Kesemua surat kelulusan berserta Borang 5A tanah tersebut te­lah diserahkan sendiri Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kepada semua penerima dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Haji Omar, di Kuala Selangor, pada 19 Ogos tahun lalu.

Rabu lalu, Utusan Malaysia membangkitkan persoalan siapa 18 ‘individu’ misteri yang nombor kad pengenalannya tiada dalam rekod JPN tetapi diluluskan permohonan memiliki tanah dan tambah memelikkan, penduduk Kampung Sungai Yu sendiri memberitahu mereka tidak mengenali siapa ‘18’ individu istimewa tersebut.

Tidak sekadar itu, semakan di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Razak bagi Daftar Pemilih Terkini Suku Pertama 2017 yang diwartakan pada 20 Jun lalu juga mendapati, kesemua 18 ‘individu’ misteri terbabit tiada dalam senarai daftar pemilih.

Bagaimanapun Kerajaan PKR Selangor, melalui Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, v. Ganabatirau, yang terlibat secara langsung dalam jawatankuasa pemilihan melalui wakilnya sekadar berdolak-dalik dengan memberikan alasan isu tersebut sudah dilaporkan kepada polis.