Kanak-kanak berkenaan di­percayai dipukul oleh suspek berusia 23 tahun itu yang merupakan warganegara Kemboja pada hari dia dilaporkan hilang iaitu 30 Januari lalu.

Difahamkan, keluarga Siti Masitah sebelum ini rapat dengan suspek yang sudah dianggap seperti anak angkat mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Othman Nayan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati terdapat tiga kece­deraan di rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri dan belakang kepala kanak-kanak berketurunan Kemboja itu.

Menurutnya, punca kematian adalah disebabkan kece­deraan serius di bahagian kepala dan jangka masa kematian adalah antara tujuh hari hingga dua minggu yang mana bedah siasat mendedahkan jantina mangsa adalah perempuan.

“Hasil pengakuan suspek, polis telah merampas kayu yang digunakannya memukul mang­sa. Motif kejadian dipercayai kerana dendam atau marah terhadap keluarga mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siti Masitah dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Medang Hilir di Pekan dekat sini untuk ke kedai dengan menunggang basikal kira-kira pukul 5 petang 30 Januari lalu.

Mayat anak ketiga daripada empat beradik itu ditemukan kira-kira pukul 4 petang kelmarin oleh penduduk kampung yang memburu ayam hutan di dalam semak bersebelahan sebuah ladang kelapa sawit di Tanjung Medang Kemahang, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya.

Othman menjelaskan, pihak­nya menahan suspek kira-kira pukul 2 pagi pada 31 Januari lalu di kampung berkenaan berdasarkan maklumat awam yang mana lelaki tersebut adalah orang terakhir dilihat bersama mangsa dan dia kini direman sehingga 17 Februari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan punca yang menyebabkan suspek berdendam dengan keluarga mangsa namun mengesahkan mayat kanak-kanak itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dan hampir reput serta tangan diikat dari belakang.

“Ibu mangsa, Solihah Abdullah mengecam anaknya berdasarkan baju yang dipakai Siti Masitah ketika keluar dari rumah pada 30 Januari lalu namun polis masih menunggu keputusan ujian asid deoksiri­bonukleik (DNA) sebelum membuat pengesahan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Othman menafikan penularan berita bahawa terdapat organ mayat berkenaan hilang yang kononnya dikaitkan dengan aktiviti penjualan organ manusia dan tidak menolak kemungkinan keadaan mangsa yang tidak sempurna diakibatkan oleh haiwan liar selain faktor mayat terdedah dalam tempoh masa yang panjang.