Kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu ditahan di sebuah restoran dan kondominium di Kelana Jaya, Selangor hasil maklumat dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, serbuan terbabit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat oleh orang awam pada 27 Julai lalu membabitkan seorang mangsa.

Ujarnya, mangsa dikatakan telah menerima wang palsu daripada suspek ketika menjalankan urus niaga pembelian telefon bimbit jenis Iphone X.

"Hasil serbuan terbabit, enam keping wang kertas bernilai RM100 disyaki palsu ditemukan bersama-sama satu unit komputer riba, mesin cetak dan lima buah telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai digunakan oleh sindiket terbabit untuk memproses dan mencetak wang palsu.

"Sehubungan itu, kesemua suspek yang ditahan telah direman sehingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 489b Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE