Ketiga-tiga suspek berusia 23 hingga 31 tahun itu ditahan di sekitar Georgetown dan Bukit Mertajam di sini hasil risikan dan tindakan pantas polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asiseten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, penahanan mereka susulan laporan yang diterima daripada seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Thailand yang mendapati beberapa komponen motosikalnya dan dua rakannya hilang.

Tambahnya, kesemua mereka baru mendaftar di sebuah hotel di Jalan Macallum di sini selepas berkonvoi dari ibu negara menuju pulang ke Thailand sebelum mendapati komponen motosikal mereka hilang kira-kira pukul 6.25 petang Sabtu lalu.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa kehilangan tiga unit angkup brek; dua pam brek; sebuah topi keledar jenama BMW; dua set kotak peralatan dan alat pengecas motosikal dengan nilai keseluruhan RM40,000.

"Susulan laporan yang dibuat mangsa, kita berjaya menjejaki dan menahan semua suspek yang tidak bekerja itu dan merampas semula barang yang dicuri.

"Selain itu, kita turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan suspek untuk mencuri komponen motosikal berkuasa tinggi tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, kegiatan mencuri itu dilakukan dua daripada suspek manakala seorang lagi bertindak sebagai perancang dan menjualnya di pasaran pada harga yang murah.

Katanya, siasatan lanjut ke atas suspek juga mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

"Semua suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan dengan penahanan mereka polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi komponen motosikal berkuasa tinggi yang dilaporkan di daerah ini sebelum ini," katanya. - UTUSAN ONLINE