Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik berkata bertindak hasil maklumat dan intipan, polis menyerbu tiga lokasi di Bayan Lepas dan Air Itam bermula 3 petang sebelum menahan tiga lelaki berusia 35 hingga 45 tahun dengan dua daripadanya adalah rakyat Indonesia.

"Susulan penahanan mereka, polis merampas 24.7 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 8,400 biji pil ecstasy dalam sebuah kereta milik seorang daripada tiga lelaki itu di Bayan Lepas. Semua dadah itu bernilai RM2.06 juta.

"Kejayaan itu adalah hasil kerjasama Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang dengan kerjasama Polis Nakoba (Narkotik) Indonesia," katanya pada sidang berita di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Atase Polis Kedutaan Indonesia di Malaysia Chaidir Zahari.

Roslee berkata siasatan awal polis mendapati sindiket itu membawa masuk dadah dari negara jiran dan menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat transit sebelum menghantar bekalan itu ke Indonesia.

Beliau berkata sindiket itu, yang beroperasi sejak dua bulan lepas, menggunakan laluan laut untuk menghantar dadah ke Indonesia bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas empat kereta mewah bernilai RM765,000 dan wang tunai sebanyak RM19,960," katanya.

Menurutnya lelaki tempatan yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah manakala dua warga Indonesia terbabit mempunyai dokumen yang sah.

"Kesemua mereka yang tidak bekerja itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan polis sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket berkenaan," katanya.

Sementara itu, Roslee berkata sejak tahun lepas hingga Oktober lepas, JSJN Bukit Aman dan Pulau Pinang dengan kerjasama Polis Nakoba Indonesia berjaya menumpaskan 29 sindiket pengedaran dadah di kedua-dua negara.

Sepanjang tempoh tu, sebanyak 610 kg syabu, 1,695 kg (cecair syabu), 146 kg (serbuk ecstasy), 15,800 biji (pil ecstasy) dan 2.5 juta biji pil eramin 5 dirampas, katanya. - BERNAMA