Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya percaya mereka masih bergerak bebas selepas dua kali cubaan membawa masuk pelarian Rohingya yang mendarat di kawasan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat pada 1 Mac lalu dan hari ini gagal.

Katanya, dalam kes terbaharu, seramai 41 pelarian yang ditahan hari ini dipercayai ingin memasuki Alor Setar, Kedah untuk bekerja dalam sektor pembersihan.

Ujarnya, kesemua mereka yang ditahan itu berumur antara 14 sehingga 33 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

“Kita akan menjalankan siasatan dan memburu sindiket terbabit. Mereka (sindiket) mengambil kesempatan memperolehi keuntungan dengan membawa masuk pelarian ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau 41 pelarian yang ditempatkan sementara di Aksem Kuala Perlis hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, seramai 41 pelarian Rohingya yang dalam keadaan keletihan, lesu serta kelaparan sekali lagi dibantu penduduk kampung setelah ditinggalkan tekong di pesisiran pantai berdekatan Kampung Belati, Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini.

Kawasan tersebut tidak jauh daripada lokasi seramai 34 pelarian Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak ditinggalkan dalam kejadian serupa pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, Syed Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai pelarian yang mendarat di kawasan itu kira-kira pukul 7 pagi sebelum ke lokasi kejadian.

Katanya, seramai 41 pelarian Rohingya dikesan mendarat di kawasan pesisir pantan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut seksyen 6(3) Akta Imigresen,” katanya. - UTUSAN ONLINE