Semasa ditahan pihak JPJ lelaki berusia 26 tahun memandu kereta jenis BMW S29 itu meragukan selepas pemeriksaan dan semakan dilakuan.

Pengarah JPJ negeri, Razali Wagiman berkata, suspek menunjukkan dokumen perjalanan dan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) palsu.

Katanya, kenderaan itu memiliki kod pengeluar dari negara Singapura serta nombor casis sama, namun pendaftaran dan dokumennya dari Thailand.

“Jadi kita buat semakan lanjut melalui Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura dan Polis Thailand, selain siasatan mendapati kenderaan ditahan itu kereta klon.

“Semakan kedua-dua pihak berkuasa mendapati, kenderaan itu didaftarkan di Singapura pada 2008, manakala nombor pendaftaran wujud di Bangkok Thailand dengan jenis kereta sama, namun berwarna putih,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ di Taman Daya di sini hari ini.

Jelasnya, semakan mendapati kenderaan itu didaftarkan bernombor SJW 2438T namun diklonkan nombor kenderaan sama di Bangkok bernombor 5AA 8095.

Menurutnya, kenderaan itu sepatutnya dilupuskan pada tahun lalu namun diklonkan ke pasaran Thailand pada harga RM30,000.

Ujarnya, sindiket menjual kereta klon biasanya menggunakan nombor pendaftaran yang sama pada kenderaan jenis sama di negara ini.

Beliau berkata, penahanan lelaki dan kereta tersebut membongkar stu sindiket pinda, padam dan palsukan ICP. - UTUSAN ONLINE