Perkara itu hanya terungkai selepas mereka terhidu bau busuk dari dalam sebuah bilik yang disewa seorang lagi rakan mereka yang berkunci tetapi tidak pulang ke rumah kira-kira tiga hari lalu.

Curiga dengan bau itu, mereka kemudiannya membuat laporan polis dan selepas pintu bilik tersebut dipecahkan, polis menjumpai mayat wanita Indonesia berkenaan di dalam sebuah almari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, mayat Santi Restauli Simbolan, 25, ditemukan terduduk di dalam almari yang dikunci.

Menurut beliau, bilik itu dipercayai disewa warga Nepal berusia 27 tahun yang juga teman lelaki mangsa yang bekerja di kilang sama di Bayan Lepas di sini.

“Mangsa yang tinggal di tingkat 17 flat sama didakwa sering dilihat berada di rumah teman lelakinya itu dan kali terakhir pada Jumaat lepas.

“Kita sudah mengenal pasti identiti warga Nepal yang me­larikan diri itu dan sedang giat memburu suspek manakala dua rakan serumahnya masing-ma­sing berumur 22 dan 23 tahun ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar Anuar, setakat ini motif kejadian itu dikenal pasti akibat cemburu dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Ke­seksaan kerana membunuh.

Tambahnya, mayat mangsa di hantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.