Dalam tangkapan yang dilakukan secara berasingan itu, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun itu diberkas antara pukul 7.30 pagi hingga 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, penahanan itu bagi membantu siasatan kes samun mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis berusia 22 tahun yang berlaku kira-kira pukul 11.45 malam, Jumaat lalu.

“Pihak polis juga telah merampas wang tunai sejumlah RM180, kad pengenalan polis milik mangsa, lesen memandu, lesen memandu pasukan, kad pengeluaran wang automatik (ATM), kad Koperasi Polis, buku nota kecil dan telefon bimbit.

“Mangsa merupakan anggota polis berpangkat Konstabel yang baru melapor tugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 15 November lalu dan mengalami kecederaan bengkak di bahagian kepala sebelah kiri selepas disamun sekumpulan lelaki terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Habibi, kesemua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 23 November depan.

“Kes akan disiasat dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE