NOOR MUSHAR MOHD.
NOOR MUSHAR MOHD. 

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan mufti dan pengadu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.

"Kita ada terima laporan yang dibuat oleh kariah berkenaan terhadap mufti berikutan dakwaan yang dibuat olehnya (sihir terhadap imam baharu).

"Jadi pihak polis akan panggil pengadu dan mufti sendiri bagi mendapatkan penjelasan sebenar berkaitan isu ini," katanya di sini, hari ini.

Hari ini, kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Kampung Guar Syed Alwi tampil membuat laporan polis terhadap Mohd. Asri yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan tidak benar terhadap mereka.

Laporan itu dibuat oleh kariah masjid tersebut, Hasnan Abdul Kudus, 57, dan Eishar Mat Akhir yang menuntut Mohd. Asri supaya menarik balik kenyataan bahawa kariah masjid itu boleh melakukan sihir terhadap imam baharu selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan mengenainya.

Sebelum itu, Mohd. Asri dalam video kuliahnya yang dikongsi dalam Facebooknya mendedahkan ada kariah di salah sebuah masjid mengugut boleh melakukan sihir terhadap imam yang baru dilantik di masjid berkenaan.

Mohd. Asri dilaporkan berkata, situasi itu berlaku ketika mereka datang bertemunya baru-baru ini bagi meminta supaya imam lama masjid berkenaan dikembalikan.

Mengulas lanjut, Noor Mushar berkata, satu kertas siasatan akan dibuka sekiranya laporan terbabit bersesuaian dengan proses perundangan negara.

"Jadi kita harap kedua-dua pihak dapat mengurangkan ketegangan yang melanda bagi memastikan proses siasatan berjalan dengan lancar," katanya.- UTUSAN ONLINE