Laporan itu dibuat oleh kariah masjid tersebut, Hasnan Abdul Kudus dan Eishar Mat Akhir di Balai Polis Kangar kira-kira pukul 1.30 petang ini.

Dalam laporan itu, mereka menuntut Mohd. Asri supaya menarik balik kenyataan kononnya kariah masjid tersebut boleh melakukan sihir terhadap imam baharu selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan mengenainya.

Hasnan berkata, kenyataan kononnya kariah boleh menggunakan bomoh Siam terhadap imam baharu di masjid ber­kenaan tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang mufti yang menjadi penasihat agama di negeri ini.

Katanya, adalah tidak masuk akal kariah akan melakukan tindakan seperti itu kerana mereka juga mempunyai pegangan agama dan tahu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

“Kami desak mufti tarik balik tuduhan dan mohon maaf secara terbuka kepada kariah. Pihak polis juga perlu ambil tindakan sepatutnya dalam soal ini.

“Sepatutnya mufti memberi tarbiah dan didikan kepada masyarakat bukannya membuat tuduhan,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan tersebut di sini hari ini.

Mohd. Asri dalam video kuliahnya yang dikongsi dalam Facebook beliau kelmarin mendedahkan ada kariah di salah sebuah masjid mengugut boleh melakukan sihir terhadap imam yang baharu dilantik di masjid berkenaan.

Mohd. Asri dilaporkan berkata, situasi itu berlaku ketika mereka datang bertemunya baru-baru ini bagi meminta supaya imam lama masjid berkenaan dikembalikan.

Sebelum itu, tular seke­ping surat dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs) berhubung pemecatan seramai 25 orang imam kariah di negeri ini manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke kariah lain tanpa alasan.

Mohd. Asri kemudian menjelaskan penamatan jawatan itu adalah untuk memberi laluan kepada golongan muda.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisio­ner Noor Mushar Mohd. berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan mufti dan pengadu berhubung isu berkenaan.

“Kita ada terima laporan yang dibuat oleh kariah berkenaan terhadap mufti berikutan dakwaan yang dibuat olehnya (sihir terhadap imam baharu).

“Jadi pihak polis akan panggil pengadu dan mufti sendiri bagi mendapatkan penjelasan sebenar berkaitan isu ini,” katanya.

Noor Mushar berkata, satu kertas siasatan akan dibuka sekiranya laporan terbabit bersesuaian dengan proses perundangan negara.

“Jadi kita harap kedua-dua pihak dapat mengurangkan ke­tegangan yang melanda bagi memastikan proses siasatan berjalan dengan lancar,” katanya.