Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, sehingga kini, siasatan kes itu berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan positif.

“Siasatan amat memberangsangkan dan kita yakin kes ini dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Perkembangan lanjut berhubung kes tersebut dijangka dimaklumkan dalam sidang akhbar yang akan diadakan Rabu ini,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra dan Penghargaan Pencegahan Jenayah Kecurian Kabel Telekom Malaysia (TM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Minggu lalu, polis menemukan cebisan tulang dipercayai milik lima mangsa pembunuhan yang ditanam dalam dua kubur di kawasan estet Batu 8, Jalan Sungai Gadut, Senawang dan beberapa lubang di Jalan Mantin dekat sini masing-masing pada Rabu dan Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika itu memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan lubang yang dijadikan kubur mangsa berkenaan mempunyai kaitan dengan pembunuhan membabitkan jenayah kumpulan kongsi gelap.

Utusan Malaysia difahamkan, cebisan tulang itu ditemukan susulan kejayaan polis negeri ini menahan 34 ahli kongsi gelap yang disyaki terlibat dalam pelbagai jenayah terancang menerusi Ops Khas Hoben 1/2018 pada 29 Mac hingga 9 April lalu.

Kesemua ahli kongsi gelap Geng 36 itu ditahan berikutan beberapa siri kes keganasan yang berlaku di negeri ini seperti membunuh, mendatangkan kecederaan, peras ugut, khianat dengan api dan pengedaran dadah. - UTUSAN ONLINE