Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, setakat ini kerjasama dengan jabatan penjara di seluruh negeri terus dilakukan bagi membanteras kegiatan tersebut.

"Kita akan lakukan siasatan sama ada rampasan dadah di Penjara Simpang Renggam, Kluang yang dilakukan semalam mempunyai hubung kait dengan kegiatan sama di penjara lain.

"Ini semua bergantung kepada hasil kajian dan perkembangan siasatan di Penjara Simpang Renggam, jika ada hubungan kita akan siasat penjara lain di Johor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Apresiasi Keselamatan Untuk Kesejahteraan Awam di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) negeri, Mohd. Shaman Jaes.

Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumkan kejayaan pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di penjara tersebut selepas lima lelaki ditahan 
di sekitar Johor Sabtu lalu.

Hasil penahanan suspek berusia antara 26 hingga 30 tahun itu melibatkan rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM814,000. - UTUSAN ONLINE