Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 9 Julai lalu, mangsa berusia 55 tahun menerima panggilan telefon dari seorang perempuan yang memperkenalkan dirinya dari mahkamah di Melaka.

Jelasnya, setiausaha eksekutif berkenaan dimaklumkan bahawa dia mempunyai satu panggilan saksi bagi perbicaraan di mahkamah Melaka kerana kad kredit didaftarkan atas nama mangsa bersangkut kes AMLA.

“Panggilan mangsa disambungkan kepada seorang anggota polis bagi membuat laporan polis dan selepas itu talian disambungkan lagi kepada seorang lagi anggota polis bagi menyelesaikan masalah itu.

“Kemudian, panggilan disambung lagi kepada seorang lagi anggota polis yang meminta mangsa menyerahkan nama pengguna (ID) dan kata laluan Maybank2u mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Wazir berkata, mangsa telah memberikan maklumat itu dan setiap kali wang miliknya dipindahkan, setiausaha eksekutif berkenaan memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) perbankan online kepada anggota polis tersebut.

“Apabila dimaklumkan dirinya ditipu, mangsa telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya. - UTUSAN ONLINE