Tiga suspek itu termasuk seorang remaja berusia 16 tahun yang tidak bersekolah ditahan sepasukan polis dari Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Selangor kira-kira pukul 1 pagi ini.

Polis Selangor pada masa sama menafikan dakwaan dalam media sosial kononnya insiden itu ada kaitan dengan isu kaum dan agama, kerana punca sebenarnya adalah akibat lumba haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pergaduhan pada pukul 5 pagi Jumaat itu berlaku apabila mangsa dan rakannya menegur sekumpulan lelaki yang berlumba haram.

“Ketiga-tiga suspek ini berumur dari 16 hingga 22 tahun. Kesemuanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan direman selama lima hari sehingga Khamis hadapan bagi membantu siasatan.

“Kita juga menafikan maklumat yang tular mengatakan kumpulan terbabit membenci azan yang dilaungkan dan serangan berlaku selepas mangsa dan rakan-rakannya selesai solat subuh di masjid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE