Portal berita SabahNews Today melaporkan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam tempoh itu sebanyak 43 kes direkodkan di daerah Semporna dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Bahan Letupan 1957.

“Pada tahun 2017 sebanyak 17 kes direkodkan manakala tahun 2018 pula merekodkan sebanyak 13 kes dan yang terbaharu tahun 2019 sehingga Jun sahaja sebanyak 13 kes telah direkodkan,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, sebanyak 13 kes tangkapan dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini membabitkan bom ikan dan bahan letupan di sini dengan nilai rampasan RM39,610, tertinggi seluruh Sabah.

“Kota Kinabalu di tempat kedua merekodkan 11 kes, diikuti masing-masing tiga kes di Kudat dan Lahad Datu dengan nilai rampasan bagi ketiga-tiga daerah ini sebanyak RM60,503 untuk enam bulan pertama tahun ini,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya akan terus komited menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di perairan negara termasuk membanteras kegiatan bom ikan dan bahan letupan yang mendatangkan pelbagai implikasi negatif. – UTUSAN ONLINE