Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, dalam kes pertama, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri menahan dua lelaki berusia 23 tahun dan 34 tahun di kawasan letak kereta sebuah pasar raya di bandar ini.

"Hasil pemeriksaan merampas pelbagai jenis dadah yang disembunyikan di ruang tayar gantian kereta di bahagian bonet belakang.

"Nilai anggaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah sebanyak RM72,501," katanya dalam sidang akhbar di IPK negeri di sini hari ini.

Menurut Yusri, kes kedua pula melibatkan serbuan polis di sebuah pondok di dalam ladang kelapa sawit di Kampung Jernih, Chenor yang mana dua lelaki berusia 30 tahun dan 39 tahun ditahan di kawasan tersebut.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM3,201.

"Polis turut merampas selaras senapang patah buatan sendiri dan 10 butir peluru," katanya. - UTUSAN ONLINE