Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, wanita berkenaan dilihat terjun di kilometer 6.8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Seberang Perai ketika jambatan tersebut sedang sesak dengan kenderaan berikutan orang ramai baru pulang dari bekerja.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, saksi yang melihat kejadian itu kemudiannya membuat laporan polis dan turut melaporkan mangsa meninggalkan kenderaan jenis Toyota Avanza di atas jambatan.

Menurut beliau, usaha mencari dan menyelamat wanita itu digerakkan beberapa agensi sebelum wanita berkenaan ditemukan selamat di perairan Straits Quay, Georgetown, di sini kira-kira pukul 10 malam tadi.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati wanita berkenaan yang sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bukit Mertajam berada dalam tekanan teruk selepas kematian ibunya kira-kira 17 hari lalu.

"Wanita itu turut mendakwa ketika kejadian dia hanya duduk di tepi jambatan kerana kereta dipandunya mempunyai masalah sebelum mendakwa terjatuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, wanita berkenaan terselamat daripada lemas meskipun hanyut lebih 20 kilometer selepas mendakwa mengapungkan diri meskipun mengakui tidak tahu berenang.

Katanya, mangsa yang cedera pada bahagian tangan akibat digigit obor-obor kini sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan keadaannya dilaporkan stabil. - UTUSAN ONLINE