R. Narresh, 30, memberitahu Koroner Rofiah Mohamad, sepanjang berlakunya insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, dia hanya membantu anggota bomba tersebut dan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.

“Macam-macam benda buruk yang saya dengar tetapi saya sebenarnya hanya menjalankan tugas menyelamatkan seseorang. Malah, komen-komen yang ditulis di laman sosial juga menyakitkan hati sedangkan sebagai saksi biasa saya hanya sekadar membantu sahaja.

“Saya berasa sedih dan sampai sekarang ada menerima panggilan daripada ramai orang, tetapi saya mengatakan tolong hormati dan jangan cakap bukan-bukan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Syazlin Mansor, Narresh berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menziarahi Muhammad Adib buat kali terakhir meskipun sudah berada di Kampung Tebengau, Kuala Kedah.

Narresh yang merupakan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam berkata, dia nekad pergi ke kampung tersebut untuk melihat Muhammad Adib buat kali terakhir di majlis pengebumian mangsa selepas mengetahui berita kematian anggota bomba terbabit di Institusi Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember 2018.

“Saya menaiki kereta api di Kuala Lumpur (KL) Sentral menuju ke Alor Setar, Kedah. Saya pergi ke kampung tetapi tidak sempat untuk melihat Muhammad Adib kerana dia sudah dikebumikan malah ada dalam kalangan orang kampung memandang saya semacam.

“Saya tempuh perjalanan selama 12 jam menaiki pengangkutan awam termasuk keretapi dan Grab. Namun, disebabkan tidak dapat berjumpa Muhammad Adib buat kali terakhir, saya memujuk S.Suresh untuk memberikan keterangan bagi menegakkan keadilan,” ujarnya.

Terdahulu, prosiding inkues bagi menentukan kematian Muhammad Adib tamat pada pukul 5 petang dan bersambung esok pagi dengan memanggil saksi awam yang baharu. - UTUSAN ONLINE