Akibatnya, mereka ditahan dalam serbuan sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) ibu pejabat polis kontinjen (IPK) negeri di sebuah pusat hiburan di Georgetown, di sini kira-kira pukul 4 pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat yang diterima pihaknya berhubung kegiatan di premis tersebut yang dikesan menggunakan khidmat wanita warga asing sebagai tarikan kepada pelanggan untuk berhibur.

Tambah beliau, dalam serbuan itu juga, seramai 34 pelanggan turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati 16 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Tujuh wanita warga asing itu ditahan selepas disyaki menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan terbabit.

"Tindakan juga akan dikenakan terhadap pengusaha pusat hiburan itu kerana didapati beroperasi melebihi waktu yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainol berkata, tujuh wanita warga asing yang ditahan itu terdiri daripada tiga warga Vietnam dan empat Thailand.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 50 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE