Kesemua tertuduh iaitu Asisten Superintendan Sherman Salleh, 42; Lans Korperal Faizal Miza Zakariah, 35; anggota bomba Mohd. Fadzli Jamaludin, 48, dan dua penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Khairil Faezi Mohd. Aziz, 32; serta Qairul Redza Mohd. Hadzri, 35, tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.

Di hadapan Hakim Azura Alwi, Sherman dan Faizal yang bertugas di Balai Polis Setapak didakwa meminta dan menerima suapan RM3,000 daripada Gilbert Juin anak Damu, 37, agar tidak mengambil tindakan terhadap rumah urut Angel Massage Centre di Platinum Walk dimiliki Redantzkl Enterprise.

Sementara itu, Mohd. Fadzli didakwa bersetuju menerima rasuah RM500 daripada individu sama sebagai dorongan menyokong Permohonan Kelulusan Lesen Perniagaan Premis bagi Redantzkl Enterprise melalui sistem E-Lesen DBKL.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di Restoran Hayaki Kopitiam, Dobi Speedy Wash, Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus dan Angel Massage Centre di Platinum Walk, Setapak, di sini antara 5 November 2018 dan 11 Januari 2019.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob pula, Khairi Faezi dan Qairul Redza didakwa bersama-sama meminta wang sebanyak RM1,500 daripada Gilbert Juin sebagai dorongan untuk tidak melakukan tindakan terhadap rumah urut yang sama.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Restoran Paparich, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai, di sini kira-kira pukul 10 malam, 3 Mei 2018.

Qairul Redza turut didakwa di hadapan Hakim Azman Ahmad atas tiga lagi pertuduhan meminta suapan RM58,000 daripada Gilbert Juin sebagai dorongan untuk mendapatkan lesen rumah urut di Coffee House, Menara Commerce, Jalan Raja Laut dan rumah urut di Platinum Walk, antara 4 April dan 27 April 2018.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Abd. Rashid Sulaiman, Nor Diana Najwa Nor Azwa dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala Sherman, Faizal dan Qairul Redza diwakili peguam-peguam bela Ahmad Ishrakh Saad, Datuk Geethan Ram Vincent, Luqman Hakim Azhar dan Noor Mousa Azaddin.

Khairil Faezi serta Mohd. Fadzli tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin antara RM10,000 dan 15,000 dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM terdekat sekali sebulan sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 18 dan 23 April ini.