Mangsa yang berusia antara 24 hingga 64 tahun tampil di Balai Polis Wakaf Bharu di sini hari ini bagi membuat laporan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa kepada wanita yang juga merupakan seorang usahawan.

Difahamkan usahawan berusia 33 tahun lalu itu berjaya menjerat ratusan mangsa di negeri ini dengan membabitkan nilai pelaburan jutaan ringgit sejak empat tahun lalu.

Seorang mangsa yang mahu dikenali Mat, 39, berkata, dia kerugian sebanyak RM170,000 apabila melabur sebanyak tiga kali pada tahun 2016 dan 2017.

Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan dia hanya memperoleh pulangan berjumlah RM15,000 sahaja.

"Sudah puas saya hubungi wanita itu dan dia berdolak dalih dengan memberi pelbagai alasan serta janji.

"Membangkitkan lagi kemarahan saya ketika ini, dia sudah mematikan telefon bimbitnya. Bila pergi rumah, ibunya beritahu dia tiada padahal ada bersembunyi di dalam rumah," katanya.

Mat memberitahu, dia kini terpaksa menanggung beban hutang pelaburan selepas membuat pinjaman peribadi dengan pihak bank.

Katanya, setiap bulan dia perlu membayar ansuran pinjaman sebanyak RM2,000.

"Mana-mana yang menjadi mangsa penipuan wanita ini, tampil lah membuat laporan polis," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Supritendan Ab Rashid Mat Daud mengesahkan menerima lima laporan polis berhubung kes terbabit.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE