Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan, berkata, mangsa seorang wanita berusia 43 tahun itu telah menerima panggilan kononnya dari kakitangan Hospital Besar Pulau Pinang yang memperkenalkan diri dengan nama Christopher Anak Anor kira-kira pukul 2 petang kelmarin.

“Christopher menyatakan bahawa seorang individu nama Lee Song telah menggunakan kad pengenalan mangsa untuk mengambil ubat terkawal di Hospital Seberang Prai dan Hospital Pulau Pinang namun mangsa menafikan mengenali individu tersebut.

“Christopher meminta mangsa membuat laporan polis dan mangsa telah disambungkan menerusi telefon untuk bercakap dengan Sarjan Tony yang kemudiannya menyatakan bahawa nama mangsa telah disenarai hitam kerana terlibat dengan jenayah senjata api,” katanya di sini hari ini.

Menurut Anbalagan mangsa diberitahu bahawa dia akan ditangkap dan diminta untuk membuat pembayaran jika tidak mahu ditangkap.

“Pada hari yang sama mangsa telah melakukan empat transaksi atas talian berjumlah RM24,000 menerusi nombor akaun CIMB.

“Selepas itu mangsa diminta untuk membuat bayaran lagi dan mangsa menyedari telah ditipu lalu melaporkan kejadian ini kepada pihak polis,” katanya. - UTUSAN ONLINE