Turut didakwa ialah Datuk Tan Eng Boon yang merupakan pengerusi sebuah syarikat pemaju hartanah yang banyak mengendalikan projek mega di selatan tanah air selain di ibu negara.

Tengku Adnan yang ditahan pada pukul 3.25 petang bermalam di lokap Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini sebelum dibawa ke mahkamah.

Sumber berkata, Rosmah yang bakal dihadapkan ke mahkamah buat kali kedua esok akan berhadapan dua pertuduhan berjumlah RM1.5 juta berhubung kes penyelewengan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

“Rizal pula berhadapan em­pat pertuduhan berjumlah RM5.5 juta berkaitan kes sama dan pertuduhan terhadap me­reka dibuat mengikut Seksyen­ 16(A) Akta SPRM 2009,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, Tengku Adnan pula akan berdepan dua pertuduhan mengikut Sek­syen 165 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan di bawah Seksyen 16 (A)(a) Akta SPRM 2009 melibatkan nilai rasuah RM3 juta.

“Tengku Adnan akan dihadapkan ke mahkamah berkaitan kes penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Eng Boon pula akan didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Ahli Parlimen Putrajaya itu dalam kes sama.

“Keempat-empat individu ber­kenaan dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 2.30 petang esok,” ujarnya.

Terdahulu, Rosmah hari ini memberi keterangan hampir empat jam kepada SPRM dan kereta jenis Proton Perdana yang membawa isteri bekas Perdana Menteri itu dilihat memasuki Ibu pejabat SPRM pada pukul 11.40 pagi dan keluar pada pukul 2.35 petang.

Notis memerintahkan Rosmah dan Rizal hadir memberi keterangan telah diserahkan semalam, namun Rizal tidak hadir ke Ibu pejabat SPRM hari ini kerana difahamkan beliau telah diarahkan untuk terus ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk pendakwaan.