Selain rokok membabitkan 48,836 kotak itu, pihak kastam turut merampas 6,326.37 liter atau kira-kira 19,465 tin minuman keras pelbagai jenama dengan nilai cukai berjumlah RM277,416.65 dalam serbuan pada pukul 6 petang, Sabtu lalu.

Pengarah Kastam Sarawak, Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, kejayaan serbuan tersebut adalah hasil daripada aktiviti perisikan yang dijalankan oleh pihaknya di sekitar Tedungan, Limbang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati majoriti premis di Tedungan menjalankan aktiviti penjualan minuman keras dan rokok yang tidak dibayar duti kastam atau berstatus ‘Malaysian Duty Not Paid’ (MDNP).

“Nilai rokok yang dirampas sebelum cukai adalah sebanyak RM69,992.97, manakala bagi minuman keras pula berjumlah RM100,401.52.

“Nilai cukai keseluruhan kesemua rokok dan minuman keras dirampas adalah RM792,761.10,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Sharifah memberitahu, hasil risikan dan siasatan, pihaknya mendapati minuman keras dan rokok seludup itu disyaki dibawa masuk dari Labuan, Sabah.

Katanya, kesemua barangan rampasan itu dipercayai dibawa masuk menggunakan bot pancung dan dipunggah di tebingan Sungai Limbang.

Tambahnya, minuman keras dan rokok yang diseludup masuk itu adalah untuk pasaran tempatan dan penduduk Brunei yang sering mengunjungi kawasan Tedungan.

“Operasi dijalankan ini merupakan inisiatif dalam membanteras aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras,” katanya.

Sharifah berkata, pihaknya memerlukan kerjasama daripada masyarakat untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan agar tindakan lanjutnya dapat diambil. - UTUSAN ONLINE