Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, kedua-dua suspek warga tempatan berusia 31 dan 44 tahun ditahan bersama kenderaan yang sarat dengan muatan di Kampung Pinawantai, Matunggong, pukul 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Isuzu D Max yang dinaiki dua suspek terbabit menemukan 590 bungkus rokok dan 29 kotak minuman keras pelbagai jenama.

“Kenderaan dan semua rokok serta minuman keras yang dirampas bernilai RM70,980,” katanya menerusi kenyataan media yang dipetik SabahNewsToday.

Mohamad Pajeri memberitahu, soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sikuati, hari yang sama.

“Kami menemukan 8,130 bungkus rokok dan 210 kotak berisi minuman keras di dalam rumah dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan barangan tanpa cukai berkenaan. Nilai rampasan kedua berjumlah RM430,000.

“Operasi yang dijalankan oleh PPM Kudat kali ini berjaya menumpaskan dua suspek warga tempatan dan jumlah keseluruhan rampasan nilai RM500,980,” ujarnya.

Jelasnya, tangkapan dan semua barang rampasan di bawa ke markas operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN ONLINE