Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain bagaimanapun berkata, pihaknya sedang menunggu laporan forensik dan perubatan individu terlibat yang dijangka diperoleh dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi.

“Kertas siasatan telah dihantar kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk disemak dan dikaji. Masih ada beberapa perkara perlu kita peroleh terutama laporan doktor dan laporan forensik.

“Kita masih menunggu kedua-kedua laporan tersebut dan antara dua ke tiga minggu lagi laporan itu akan diperoleh,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Razarudin memberitahu, pembantu rumah berusia 23 tahun itu dalam keadaan selamat dan kini ditempatkan di rumah perlindungan di Kedutaan Indonesia.

Beliau berkata, berdasarkan perbincangan yang diadakan, wanita terbabit akan berada di negara ini sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

Dalam pada itu, mengulas mengenai desakan pihak tertentu yang mahu exco berkenaan ditahan, beliau menegaskan, pihak polis menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Tangkapan akan dilakukan sekiranya suspek mengganggu siasatan atau mangsa mahupun melarikan diri. Sekiranya tiada siasatan yang perlu dibuat, maka tiada sebab untuk suspek ditahan.

“Dalam undang-undang pun jaminan diberikan kepada kes-kes yang boleh dijamin dan apabila siasatan lengkap, kita akan beri jamin. Bukan berat sebelah tetapi tindakan berpandukan kepada undang-undang dan SOP sedia ada,” katanya.

Ahli exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong dikaitkan dengan tuduhan rogol berikutan laporan polis yang dibuat seorang pembantu rumah warga Indonesia pada Isnin lalu yang mendakwa dirogol Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh dari DAP itu.

Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan dirogol di rumah majikannya di Meru sehari sebelum laporan dibuat dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE