Slug:Ops raya.KEPALA BATAS - 31 MEI 2019 - KETUA Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor.Gambar: Sazali Che Din.Pemberita: Khuzairi Ismail (Utusan Malaysia).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa berusia 75 tahun telah didatangi oleh ahli sindiket itu beberapa kali ke rumahnya bagi tujuan memperdaya mangsa dengan menjanjikan hadiah yang lumayan bermula tahun 2016 hingga awal tahun ini.

Katanya, sepanjang tiga tahun itu, mangsa telah didatangi anggota sindiket sebanyak empat kali dan dibawa ke bank bagi tujuan pengeluaran wang sebelum diserahkan kepada anggota sindiket tersebut.

Menurutnya, jumlah keseluruhan wang yang diserahkan kepada sindiket itu adalah sebanyak RM49,000 secara berperingkat dan wang tersebut dijanjikan akan dipulangkan semula.

"Kali terakhir mangsa menyerahkan wang kepada sindiket tersebut adalah pada hujung Mac lalu.

"Mangsa yang sering dihubungi sindiket itu mula berasa curiga dan takut kerana dipaksa menyerahkan wang sebelum akhirnya menceritakan hal tersebut kepada anaknya kelmarin," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, setelah mengetahui hal tersebut, mangsa ditemani anaknya terus membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

"Sejurus laporan polis dilakukan, mangsa sekali lagi didatangi oleh anggota sindiket itu di rumahnya.

"Berbekalkan maklumat yang diberikan mangsa, seorang suspek dipercayai ahli sindiket berkenaan berjaya ditahan polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Tambahnya, kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - UTUSAN ONLINE