Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa berumur 40 tahun itu telah menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai rakan perniagaan yang dikenali mangsa.

“Mangsa pada mulanya pelik memandangkan nombor telefon suspek adalah berlainan daripada sebelumnya.

“Namun suspek telah meyakinkan mangsa dengan memberi alasan bahawa nombor telefon sebelum ini telah dicuri dan kemudian meminta bantuan untuk meminjam sejumlah wang kerana perniagaannya menghadapi masalah,”katanya di sini hari ini.

Menurut Noorzainy akibat percaya dengan kata-kata suspek, mangsa telah membuat lima transaksi pindahan wang yang kesemuanya berjumlah RM 24,700.

“Wang tersebut telah dipindahkan ke akaun bank seperti yang diarahkan suspek.

“Mangsa hanya sedar ditipu setelah menghubungi nombor telefon pejabat suspek dan mahu wang yang dipinjam dipulangkan seperti dijanjikan,”katanya.

Jelas Noorzainy, yakin dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Jangan sesekali mudah mempercayai kawan, sebaliknya buat pengesahan terlebih dahulu.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.- UTUSAN ONLINE