Mangsa yang berusia 60 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur pukul 11 pagi 7 Ogos lalu kerana didakwa membeli 20 biji ubat tidur pada 1 dan 2 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang pegawai yang kononnya bertugas di Bukit Aman yang mendakwa dia merupakan individu dikehendaki polis selepas membuat pemeriksaan kad pengenalan.

Tambah beliau, mangsa kemudiannya diminta memasukkan sebanyak RM24,000 ke dalam satu akaun bank sebagai wang jaminan dan mengikut arahan itu dengan memindahkan wang tersebut pada hari sama.

"Namun, pada keesokan harinya, mangsa sekali lagi menerima panggilan daripada suspek ketiga yang mengarahkannya memasukkan wang RM23,000 tetapi hanya memindahkan RM9,000 pada hari tersebut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah beliau, sejak kali pertama menerima panggilan Macau Scam itu, mangsa secara berperingkat bagaimanapun telah memindahkan keseluruhan RM163,500 kepada suspek sehingga 14 Ogos lalu.

Jelasnya, mangsa yang berasa tertipu kemudiannya membuat laporan polis semalam dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE