Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi selepas pasangan warga emas berusia 70-an itu ditegur dua lelaki yang memakai baju seragam syarikat berkenaan dan mendakwa agen di bahagian pemasaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Aibee Ab Ghani berkata, suspek memaklumkan kononnya mangsa telah memenangi kupon RM200 dan pengisian petrol secara percuma sehingga 1 Jun depan.

“Suspek kemudian mendakwa pasangan itu berpeluang menyertai pelaburan dengan syarikat petroleum berkenaan yang menawarkan pulangan dua kali ganda nilai wang yang dilaburkan.

“Mangsa tertarik dengan pelaburan yang dijanjikan lalu pergi bersama suspek untuk mengeluarkan wang berjumlah RM160,000 di sebuah bank,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Aibee berkata, selepas mengeluarkan wang, suspek membawa mereka pergi ke sebuah pusat beli-belah di Seremban 2 dan mendakwa pejabatnya terletak berdekatan premis pengurup wang di bangunan tersebut.

“Salah seorang suspek mengambil wang daripada mangsa dengan alasan mahu memeriksa nombor siri wang di pejabatnya sambil diekori mangsa lelaki. Isterinya berada di dalam kereta bersama seorang lagi suspek,” katanya.

Katanya, apabila masuk ke dalam pusat beli-belah, suspek melarikan diri bersama wang dan cuba dikejar oleh warga emas itu yang bagaimanapun terjatuh di tangga eskalator dan cedera di kaki.

“Suspek yang berada di dalam kereta pula berpura-pura mahu pergi ke pejabatnya untuk menandatangani borang sebelum menghilangkan diri,” tambahnya.

Beliau berkata, pasangan itu telah membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE