Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Superintenden Azhari Nusi berkata, sepanjang tempoh itu sebanyak 48 kes berkait aktiviti penyeludupan bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat ke Rantau Panjang telah berjaya dipatahkan hasil kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan sempadan yang lain.

“Kami akan terus meningkatkan jalinan kerjasama dengan seluruh agensi penguatkuasaan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

“Hal ini bagi memastikan tidak berlaku ketirisan barangan bersubsidi ke negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PGA di sini, hari ini

Azhari memberitahu, semalam anggotanya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan telah menahan seorang lelaki yang sedang mengisi petrol di sebuah stesen berhampiran sempadan.

Katanya, lelaki berusia 33 tahun itu dikesan melakukan kesalahan tersebut selepas bertindak mengisi bahan api berkenaan dalam tempoh agak lama sehingga mengundang rasa curiga anggota penguatkuasa yang melakukan rondaan bersepadu di kawasan berkenaan pada pukul 2 petang.

Ujarnya, curiga dengan tindakan lelaki itu anggota penguatkuasa telah bertindak menahan kereta jenis Proton Waja dan kemudian terus melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan enam biji tong plastik berisi petrol di bahagian penumpang belakang selain tangki minyak kenderaan yang sudah diubahsuai.

“Jumlah keseluruhan petrol itu ialah 90 liter. Nilai bahan api itu termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM10,000,” katanya. - UTUSAN ONLINE